Syawal Bulan Kemenangan


Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam, kerana telah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulam di bulan Ramadhan. Selama sebulan Ramadhan rohani dan jasmani kita dilatih sedemikian rupa untuk menjadi orang yang bertaqwa, iaitu orang yang mematuhi perintah Allah dan menjauhkan diri dari apa yang dilarangNya. Taqwa adalah tingkat yang paling mulia disisi Allah s.w.t.
 
Selama sebulan menahan haus dan lapar, selama sebulan menahan hawa nafsu, disiang harinya, selama sebulan melatih diri dari berkata-kata, mendengar dan melihat hal-hal yang dimurkai Allah. Diiringi pula dengan solat-solat sunat lainnya, berzikir, memperbanyak membaca dan memahami al-Quran dan berusaha melaksanakannya, dengan memberi makan fakir miskin dan membantu mereka yang berjuang di jalan Allah, jalan para Anbiya dan Rasul-Rasul Allah,  seperti para muballigh dan pendakwah sepenuh masa, kerana usaha mereka adalah untuk menerangi dan memberi petunjuk ke jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai Allah s.w.t. sehingga umat Islam tidak sampai tersesat jalan, dan dapat menunaikan ibadah puasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan. 
 
Kita sambut Aidilfitri semenjak malam hari satu Syawal dengan takbir, tauhid dan tahmid dengan suara gemuruh, untuk membesarkan Allah s.w.t., mengesakanNya, dan memujiNya, serta  bersyukur atas segala nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada kita. Allah berfirman yang maksudnya:
  ’…….dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu,  supaya kamu bersyukur.”
  (Q.S. Al-Baqarah : 185) 
 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Lailaha illallahu, Allahu Akbar,Allahu Akbar, wa lillahilhamd. Maha Besar Allah tidak ada tuhan melainkan Allah,  dan kepada Allah tertuju segala pujian. 
 
Al-Imam Al-Syafie'  mengingatkan kita bahawa malam Aidilfitri itu adalah diantara malam-malam yang mudah diperkenankan doa kita, oleh itu berdoalah dengan khusyuk dan mohon  Allah menerima ibadah puasa kita yang tidak sepertinya itu, untuk menjadi bekal hidup kita diakhirat nanti. 
 
Hari kemenangan ini kita sambut dengan saling mengucapkan tahniah dan mendoaakan antara satu dengan lainnya, dan tidak lupa pula saling memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan terhadap sesama saudara muslimin dan muslimat. Pada hari yang mulia ini orang mudah memohon dan memaafkan sesama insan kerana manusia memang mudah lupa dan mudah melakukan banyak kesilapan dan kesalahan. Oleh itu gunakanlah kesempatan saling memaafkan ini, dengan sebaik mungkin.
 
Hubungan silaturahim dieratkan lagi dengan saling ziarah menziarahi sesama keluarga yang terdekat, jiran tetangga, dan sahabat handai taulan, dengan perasaan penuh kegembiraan dan kasih sayang. Mudah-mudahan ibadah puasa kita selama bulan Ramadhan dapat membawa hasil yang gemilang bagi kesihatan rohani dan jasmani kita, untuk membentuk peribadi yang mulia, iaitu peribadi orang yang beriman dan bertaqwa  kepada Allah s.w.t. sehingga terbentuklah sifat-sifat terpuji seperti orang yang sabar, disiplin, bertimbang rasa dan bersyukur, dan dapat pula membersihkan diri dari noda dan dosa. Mudah-mudahan dengan demikian, puasa Ramadhan ini dapat menyihatkan rohani dan jasmani kita serta menambahkan kecerdasan kita dalam menjalani kehidupan yang  sementara, di dunia ini.
 
Semoga kita termasuk dalam golongan  orang yang telah berjaya mencapai kemenangan, kerana menunaikan ibadah puasa selama bulan Ramadhan. Dan kepada mereka yang telah berjaya ini kita ucapkan tahniah, atas kemenangan yang telah diperoleh, berkat mematuhi perintah Allah dan RasulNya, selama bulan Ramadhan al-mubarak. 
 
Akhirnya kepada semua Muslimin dan Muslimat, dimanapun anda berada,  kami pihak Master Trainer ingin mengucapkan  Selamat menyambut Aidilfitri mohon maaf zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment